Saturday, May 7, 2011


Alex Opera House - Alexandria sangat kaya dengan seni, termasuk juga seni muzik da persembahan

Bismillahirahmanirrahim

Sekilas karangan ini akan memerhatikan secara pantas, salah satu juzuk cerita khazanah daripada segumpal sejarah yang saling berikatan, di tanah daerah purba Alexandria, Mesir.

Di mana, kisah dipilihkan garis mulanya seawal pembentukan komuniti kecil di Perkampungan Rakoda.

Nun jauh lebih jauh ratusan tahun sebelum bermulanya Era Baru dunia. Di zaman purba, lama sebelum ketibaan Al-Masih.

Kampung Rakoda. Sebuah tanah rakyat semitik penuh tatacara budaya tersendiri, yang menjalankan kehidupan hari-hari biasa seperti manusia-manusia biasa.

Rakyat Rakoda ketika itu, belum lagi menghulurkan taat setia mereka kepada mana-mana Dinasti Firaun, mahupun tunduk kepada tuntutan perang Asia Minor, apatah lagi Assyrian.

Hanya mereka menjalankan hari-hari biasa, sambil menjemput camar pulang setiap petang dengan riang. Tanpa langsung terjejas akan progresifnya dunia keliling yang sedang menongkat kuasa jajah.

Zaman berlalu zaman, apabila keretapi zaman mula menjengah ke perhentian-perhentian akhir Dinasti Firaun. Dan juga, menyapa tarikh-tarikh gemilang Greek ketika itu, beberapa ratus tahun sebelum Era Christ.

Allah mengizinkan lahirnya ke tampuk pemerintahan, bahawa seorang raja muda penuh dedikasi muncul dalam khalayak tamadun dunia purba.

Pella (di Macedonia Purba) - Tempat kelahiran Alexander III

Dalam kekalutan demokrasi di negeri demokrasi sendiri; iaitu Greece, tiba-tiba datang sebuah cahaya harapan bagi menyelesaikan masalah besar negara yang berlaku ketika itu, yang melibatkan kredibiliti kepemimpinan.


Sinar yang membuahkan harapan baru itu, rupa-rupanya, hasil kecerahan kaliber dan karisma seorang leader dari tanah berdaulat Macedonia, di kepala Greece.

Baginda Raja Macedonia; yang terus diyakini tanpa ragu-ragu, walaupun ia bergalurkan bukan dari Kehormatan Greece, untuk memandu empayar Greek ketika itu.

Buat pertama kalinya, keagungan Greece disandarkan kepada watan luar, yang menawar masuk bagi menyelamatkan sekaligus mengangkat martabat Greece semula.

Hanya setelah kematian ayahandanya, Alexander III Anak Philip II mula mengangkat leher menawarkan pakej kepemimpinan di serata alam.

Peta Mediteranean - Lokasi Macedonia, Greece Purba, Asia Minor dan Alexandria

Langkah pertamanya dengan memakai jata Greece, bukan sahaja membenarkan cita-cita, malah, membuka seribu ruang agressif dan kepercayaan rakyat.

Baginda yang merupakan salah satu pakej hasilan sistem monarki tulen, sebenarnya bukanlah sekadar item kosong, malah, telah menempa ikon besar di belakang ayahnya lama dahulu sebelum menaiki tahta.

Sepantas kilat, dari barat ke timur, baginda menjejakkan bala tentera. Bukan sahaja memungut ketaatan, tetapi juga mempamerkan ketamadunan.

Habis berwarna barulah tanah-tanah purba, bermula dari kaki air Mediteranean hinggalah jauh menjenguk Himalaya.

Setiap daerah utama yang diberi nafas baru, akan diabadikan dalam dada sejarah. Tidak hanya dengan catatan prasasti, bahkan dengan replikasi bandar, yang memiliki arkitektur penuh similariti nilai ketamadunan.

Silsilah bandaraya Greek tersebar seantero dunia. Bagaikan berada di segi empat Greece, walaupun sedang berdiri di tanah bukan Mediteranean.

Dalam angka jumlah yang banyak itu, hati baginda Raja Alexander lebih ditawan manis oleh sebuah tanah daerah kecil, yang terletak begitu bertentang dengan tanah asal Parthenon.

Tanah sekangkang kera yang dijajahnya itu, diwakilkan urusan pentadbirannya kepada orang kanannya, Ptolemy. Dan, diarahkannya agar diabadikan tanah itu sebagai yang tertinggi nilainya, sehinggalah menyamai peri-pentingnya pusat ketamadunan Greek yang asal.

Penyamaan bukan sahaja kepada replikasi bangunan, tetapi, sampai menyaingi kepentingan pentadbiran. Begitu tingginya cinta Alexander kepada tanah ini.

Amphitheater yang dibina semula di Alexandria

Itulah tanah, yang dahulunya hanya hidup pagi menghalau keluar angsa, dan petang menjemput bayu laut. Itulah tanah asal Rakoda, yang tersebut-sebut di bibir rakyat empayar sebagai Rachotis.

Setelah kedaulatan Alexander menaungi Rakoda, maka, masa tidak diambil terlalu lama untuk menobatkan tanah ini bernisbahkan rajanya. Lalu, terus masyhurlah ke seluruh empayar, kegemilangan dan kepentingannya

Dengan sekalian keagungan, selesailah disandarkan ia kepada Alexandria. Tanah di pantai Mediteranean Mesir, bertentangan tanah Parthenon di Greece.

Siapa yang tidak kenal dengan Pharos Agung di pembuka jalan lautnya. Bukan sahaja sebagai rumah api biasa, tetapi, mencatat kehebatan arkitektur yang magik. Magik di zamannya, juga magik di zaman seterusnya.

Siapa lagi yang tidak pernah mendengarkan betapa mega Bibliotheca De Alexandrina, pula. Yang terkumpulnya sekalian ilmu seantero dunia. Samada ilmu lokal, mahupun global. Semuanya dicatit dan disimpan penuh dedikasi buat warisan zaman.

Tercatat terus dalam sejarah, bahawa bermula dari saat itulah Alexandria terbangun. Dan, terus menjalarkan keagungannya sebagai legasi Alexander dengan mewarnai semula gerak langkah tarikh-tarikh empayar Mesir Purba.

Biarlah bagaimanapun corak hidup dan kekuasaan di seluruh tanah Mesir, namun, Alexandria tetap dengan kelas hidupnya yang tersendiri. Kelas kehebatan yang terus cemerlang.

Pompey's Pillar - Monumen tinggalan ketika jajahan Roman

Sepanjang aliran hidup, Alexandria telah menyaksikan jatuh bangun beberapa tamadun. Termasuk empayar Alexander, juga empayar Roman, juga jajahan French, juga jarahan British. Tidak ketinggalan, pemerintahan-pemerintahan pemimpin di zaman moden ini.

Ia sememangnya menyaksikan kekacauan di sekitar ini, namun, yang sebenarnya, semua itu telah menambahkan kayanya tanah asal sekangkang kera Rakoda ini.

Siapa tahu? Sebuah tanah sunyi, akhirnya tersohor bising dengan kecemerlangan warnanya apabila zaman berlalu zaman.

Semuanya di atas kuasa Allah, yang memberikan izin dan merancang dengan cantik peredaran ketamadunan.

Dan, kini. Alexandria di bawah pentadbiran yang baru, daripada silsilah pentadbirannya. Ditadbir dengan baik penuh kredibiliti, dengan mengekalkan kelas hidupnya yang tersendiri. Sambil terus menyerlahkan legasi-legasi zaman lampaunya.

Istana Raja Farouk - Kesan tinggalan Zaman Rejim Monarki Moden

Alhamdulillah, Alexandria kini, sekalipun masih terlihatkan seribu macam cacat cela, ia tetap berada di bawah jajahan Muslim. Sejak lebih seribu dan beberapa ratus tahun yang lampau.

Ia disapa Islam dengan penuh kehormatan setelah bermulanya era baru di Fustat, dan seterusnya Kaherah, hasil daripada kesungguhan dan dedikasi Pejuang Islam Amru Al-'As.

Di mana, semula itu, Alexandria kian dibaca dengan bunyi-bunyian huruf arab. Rakyat penuh ketamadunan ini, terus mengagungkan kehebatan sejarahnya, lalu, mengekalkan lagi namanya dalam apa jua keadaan.

Ia disalin sebagai الاسكندرية . Ia dibaca sebagai Al-Iskandariyyah. Ia juga boleh dibaca dengan mematikan huruf ketiganya iaitu alif ( ا ), menjadikannya dibaca sebagai Aliskandariah. Dimiripkan bunyinya kepada Alexandaria.

Maka, lengkaplah karangan ringkas sekilas cerita ini. Moga ia menambahkan rasa keagungan di hati, setiap kali menjejakkan kaki di bumi Tamadun ini. Yang asalnya hanyalah, sebuah tanah sunyi bernama Rakoda.

Di mana falsafahnya memaksa manusia itu merasai keupayaan dalam diri untuk mencipta keagungan dan juga meyakini bahawa ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Kerana suatu hari nanti, manusia itu akan terus-menerus mati. Tetapi, hanya jasadnya yang mati. Bukan sejarahnya yang mati.

Sekian

Peta Restoren Rakoda - Sebuah Restoren makanan laut yang mashyur di Alexandria

at 2:11 AM
Categories: Labels:

 

0 comments:

 
>